Tuesday, 20 April 2010

Update Kembara Ikhtiyar (Mac)

Sabtu (27 Mac 2010), sukarelawan Ikhtiyar menjalankan amanah sepertimana biasa pada bulan-bulan sebelum ini. Cadangan asal untuk ke Hulu Langat terpaksa dibatalkan disaat-saat akhir ekoran pengesahan yang diterima oleh pihak pengurusan yang mengatakan tiada pegawai atau wakil yang dapat menyambut kedatangan kami.

Alhamdulillah kutipan akhir pada bulan ini adalah sebanyak RM 735.00 setelah pada hari yang sama, Ikhtiyar menerima hampir RM 250 daripada penyumbang dari Rembau, NS dan tuan punya kedai di mana barangan sumbangan dibeli. Dan seperti amalan biasa, perbelanjaan yang dikeluarkan melebihi kutipan yang diterima. Perbelanjaan sumbangan bulan ini ialah RM 808.70.

Destinasi kali ini adalah di Puchong; Rumah Amal Limpahan Kasih. Pusat ini menempatkan anak-anak yatim yang berumur seawal 4 tahun sehingga remaja. Kehadiran kami disambut oleh pegawai bertugas namun kebanyakkan anak-anak yatim muslimah tidak berada di sana kerana menghadiri aktiviti kemasyarakatan di luar.

Terima kasih kepada semua FANS dan penderma2 yang sudi meneruskan program kembara pada bulan ini. Didoakan usaha murni ini akan berterusan di bulan-bulan yang seterusnya.


Wednesday, 10 March 2010

Amalan Yang Tiga

DARIPADA Abu Hurairah, Rasulullah ada bersabda, bermaksud: “Apabila seorang mati, putuslah amalannya kecuali tiga perkara, (iaitu): Sedekah jariah, ilmu yang memberi faedah kepada orang lain atau anak yang salih yang berdoa untuknya.” – (Riwayat Muslim dan lain-lain termasuk Imam Ahmad. Mustika Hadis 3:312)

Dalam hadis ini tiga amalan yang dapat membantu seseorang pada hari akhirat kelak iaitu sedekah yang pahalanya berterusan, ilmu baik yang diajarkan dan juga doa anak yang salih.

Termasuk dalam kategori sedekah jariah ialah harta yang diwakafkan, termasuk tanah, rumah, kebun atau lain-lainnya untuk dimanfaatkan oleh orang lain. Misalnya, seseorang mewakafkan bangunan untuk dijadikan sekolah, asrama, hospital, masjid dan seumpamanya.

Mendirikan bangunan untuk kepentingan awam yang dihalalkan Islam juga dikira sedekah jariah. Menubuhkan perpustakaan atau pusat sumber bagi meningkatkan ilmu dan iman orang Islam juga amal jariah yang sangat dituntut.

Ini bermakna, segala amalan kebajikan untuk kepentingan awam yang dihalalkan dikira sedekah jariah. Pahala berterusan akan diterima oleh orang yang melakukan amal itu.

Kedua, ilmu yang dapat dimanfaatkan - maksudnya ilmu yang diajarkan ketika seseorang itu masih hidup dan ia kemudiannya dimanfaatkan pula oleh orang lain, maka pahala mengajar itu berterusan selagi orang yang menerima ilmu itu mengamalkannya.

Ilmu yang dimaksudkan dalam hadis ini ialah ilmu agama dan juga ilmu mengenai dunia. Ilmu agama ialah al-Quran dan al-sunah serta segala cabangnya. Ilmu dunia ialah sains alam, dan pengurusan pentadbiran dan kenegaraan serta yang berkaitan dengannya.

Pahala diterima oleh mereka yang menyebarkan ilmu berkekalan hingga hari kiamat selagi manusia dapat manfaat daripada ilmu yang diajarkan itu. Ilmu yang disebarkannya itu, sama ada melalui syarahan, penulisan kitab, akhbar atau majalah atau apa-apa rakaman yang dapat dirujuk dalam bentuk cetak dan elektronik maka ia mendapat ganjaran berkekalan.

Ketiga, anak yang salih yang mendoakannya - maksudnya anak yang dididiknya ketika hayatnya hingga menjadi orang salih dan sentiasa mendoakan kesejahteraan bapanya sesudah meninggal dunia. Hadis ini memberi jaminan doa anak yang salih kepada orang tuanya diterima Allah.

Di dalam syurga, seseorang diangkat darjatnya oleh Allah lalu dia bertanya kepada Allah: “Ya Tuhanku, bagaimana saya mendapat darjat kebesaran ini?”.

Firman Allah bermaksud: “Ini disebabkan doa anakmu yang memohonkan keampunan bagimu.” – (Riwayat Imam Ahmad - Mustika Hadis).

Kesimpulannya, ketika masih hidup hendaklah kita sentiasa bersedekah dan membuat amal, khususnya pada perkara yang diberi ganjaran pahala berkekalan hingga ke hari akhirat.