Monday 31 May 2010

Update Kembara Ikhtiyar (Mei)

Ahad (30/5/2010) - Lebih kurang pukul 11-00 pagi, sukarelawan Ikhtiyar mula menyusuri Jalan Cheras-Kajang sebelum menghala ke Hulu Langat. Sepanjang jalan menuju ke destinasi yang dipilih, kami merasakan, tidak kurang 20 gerai yang menjual air jambu batu telah kami lalui namun masih gagal mencari Madrasah At-Taqwa sebagaimana yang tertera dalam nota rujukan kami. Akhirnya, hentian sementara sambil menikmati jus jambu batu di salah sebuah gerai yang kami lalui membuahkan harapan apabila destinasi yang dituju hanya tinggal beberapa batu.

Hampir pukul satu, kenderaan kami mula memasuki perkampungan Felcra Semungkis, Batu 14.5, Sg Gabal, Hulu Langat. Jalan kampung yang kecil dan curam diharungi sehinggalah kami berhenti berhampiran Lembah Azwin untuk memastikan lokasi kami betul. Setelah dimaklumkan akan laluan yang betul oleh Encik Idris (Pengetua Madrasah), kenderaan kami meneruskan perjalanan beberapa kilometer sehinggalah kami nampak sebuah rumah yang didirikan dicerun bukit yang tinggi (kiraan kami tidak kurang 30 darjah kecerunannya).

Sejurus sahaja kami tiba, tibalah waktu zuhur; memberi peluang kepada kami berjemaah dengan penerima sumbangan bulan ini iaitu anak-anak yatim dan fakir miskin; Persatuan Anak Yatim Malaysia, Madrasah at-Taqwa. Selesai solat, anak-anak kini terus beratur bersalaman dengan kami dan menuju ke pantri & dapur untuk menyediakan juadah tengahhari mereka sendiri.

Pada peringkat awalnya, kami berhajat untuk bersama-sama menikmati makan tengahhari bersama mereka tetapi niat itu terpaksa dibatalkan apabila dulang santapan pertama dibawa keluar oleh adik-adik disini. Dengan nasi dan lauk yang berpada, kami rasakan yang makanan yg tersedia cukup-cukup untuk mereka sahaja.

Kami dibawa ke bahagian-bahagian tertentu di sekitar Madrasah sebelum proses pemindahan dan penyampaian sumbangan dilakukan secara berperingkat. Menurut salah seorang penjaga, Madrasah ini sudah menjangkau generasi ke sembilan. Dan kami boleh lihat proses menaik taraf madrasah ini yang dilakukan secara berperingkat hasil sumbangan yang diberi sejak generasi yang pertama lagi.

Seramai 120 orang penghuni asal Madrasah ini (termasuk mereka yang telah diterima ke asrama penuh) yang kebanyakannya putera berumur seawal 6 tahun. Bagi puteri pula, jumlah mereka tidak melebihi 20 orang; yang kesemua mereka diletakkan dibawah didikan isteri kepada Mudir Madrasah ini iaitu isteri kepada Tuan Guru Ustaz Hj Ahmad Abd Latif.

AlhamduliLlah, sumbangan bulan ini menjangkau RM 681-00. Sebanyak RM 754-30 telah dibelanjakan yang mana perbezaan ini disumbangkan oleh tuan punya kedai di mana pembelian sumbangan dilakukan telah diserahkan kepada salah seorang wakil warden madrasah iaitu Ustaz Hambali.. Kami juga upload brosur dan borang waqaf kepada sesiapa yang berminat untuk pelaburan akhirat. Putera puteri disini juga berkebolehan untuk bermarhaban; mungkin boleh menjemput mereka untuk majlis-majlis di masa hadapan kelak.

Bulan depan, insyaALlah, kami akan ke Negeri Sembilan. Silalah kemukakan cadangan rumah anak yatim yang boleh kami ziarahi kelak. Terima kasih semua.

Friday 28 May 2010

Update Kembara Ikhtiyar (April)


Sabtu, 24 April 2010 - Bulan ini sukarelawan Kembara Ikhtiyar meneruskan da'wah menyampaikan sumbangan kepada anak-anak yatim kepada Rumah Nur Hikmah, Pusat Jagaan Anak Yatim & Ibu Tunggal yang terletak di salah sebuah perkampungan di tepi jalan Cheras-Kajang. Di sini juga ditempatkan pusat Tahfiz muda.

Perbelanjaan sumbangan pada kali ini menjangkau RM 784-40. Kebanyakan barang mentah dan kering yang dibeli menyerupai sumbangan sebelum ini cuma yang membezakannya adalah kuantiti setiap barang yang dipilih. AlhamduliLlah, pihak kami dimaklumkan bahawasanya pelanggan kedai dimana barangan sumbangan ini dibeli juga sama-sama menghulurkan derma bagi menjayakan usaha murni ini.

Kedatangan kami kali disambut oleh Pengetuanya dan ada kalanya kami terpaksa 'melambat'kan sedikit pemindahan sumbangan yang dibawa kerana asyik dengan telatah salah seorang anak yatim lelaki yang mahukan dirinya didukung. Menurut maklumat, kanak-kanak ini dihantar sendiri oleh ibu kandungnya kerana tidak mahu lagi menjaganya ketika masih awal umurnya sementara tiada sebarang maklumat tentang bapanya. Pun begitu, rumah anak yatim ini masih memerlukan bantuan berterusan daripada individu dan badan korporat bagi menaik taraf tempat tidur pelajar selain membekalkan lebih banyak bahan bacaan kepada penghuninya.

Rangkaian gambar-gambar dibawah adalah diantara rentetan kenangan yang sempat dirakamkan oleh kami. Pengunjung blog boleh melayari laman sesawang Facebook dengan menaip Kembara Ikhtiyar di ruangan SEARCH.

Kembara Ikhtiyar mengucapkan Jazakallah sepada semua yang menyumbang.