Wednesday, 3 March 2010

Pusat Perlindungan Pernim - Anak Yatim AIDS

Di sebalik senyuman, telatah comel dan kerenah manja Nur Murni Mohd. Saidi atau lebih manja sebagai Murni, terpampang kisah silam penuh derita dan masa hadapannya yang menghitung hari, memang menyedihkan hingga mampu menitiskan air mata sesiapa jua yang tahu keadaan sebenar.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Murni sedang berjuang di ambang maut sejak beliau dilahirkan lapan tahun yang lalu setelah doktor menjangka hayat kanak-kanak ini tidak lama.

Ketika Mingguan Malaysia menemuinya di Pusat Perlindungan Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pesakit HIV dan Aids Nurul Iman (Pernim) di Kampung Cheras Baru, Kuala Lumpur, Murni yang bersaiz kecil dengan berat 12 kilogram baru sahaja keluar hospital.

“Sejak kecil lagi, Murni yang fizikalnya hanya sama besar dengan budak umur empat tahun kerap keluar masuk hospital dan terpaksa menelan pelbagai jenis ubat dan dadah bagi melawan pelbagai serangan penyakit ekoran daya tahan badan dan antibodi yang lemah.

“Terbaru sekali, ketika melakukan pemeriksaan doktor baru-baru ini, doktor telah mengesahkan sebelah paru-paru anak malang ini tidak boleh berfungsi secara normal,” kata Ketua yang juga Pengasas Pernim, Norlina Alawi.

Pusat Perlindungan Pernim yang ditubuhkan sejak empat tahun yang lalu telah memberi harapan dan kehidupan baru kepada lebih 30 anak-anak yatim termasuk tiga anak kecil yang menghidapi penyakit AIDS atau HIV.

Menceritakan mengenai latar belakang Murni secara ringkas, Norlina berkata, anak malang itu lahir hasil perkongsian hidup pasangan suami isteri yang sah. Namun bapanya, penagih dadah tegar manakala ibunya seorang suri rumah di Kelantan.

Akibat suntikan dadah dari tabiat berkongsi jarum antara penagih- penagih, bapanya dijangkiti virus HIV tanpa disedari dan kemudiannya, ‘berkongsi’ kuman berkenaan dengan ibu Murni semasa menjalin hubungan kelamin.

Untuk sumbangan, sila berikan terus ke Pusat Perlindungan Pernim

Lot 46, Jalan 47 Bukit C
Kg Cheras Baru
56100 Kuala Lumpur
Tel: 03-42950775 atau HP 017-8860208

No comments: